Friday, September 12, 2008

Projek Pilihanraya - Parit bersebelahan Masjid Dato' Hj Kamaruddin, Baiduri

Ogos 2008 - Dalam tinjauan di sekitar kawasan Masjid Dato' Hj Kamaruddin, Baiduri, Petaling Jaya, didapati parit besar di sebelah masjid di penuhi dengan tumbuhan dan pokok-pokok. Keadaan tersebut mengundang bencana banjir jika berlaku hujan lebat.
(Foto di sebelah kiri menunjukkan Masjid berada di tebing parit besar. Kelihatan parit besar yang baru saja dibersihkan oleh penduduk, tiada tembok penahan dan binaan parit yang betul)

Perkara tersebut juga telah menjadi salah satu kebimbangan penduduk apabila berlaku hujan lebat. Adalah dikhuatiri, tebing parit akan runtuh sekiranya kerja-kerja menaiktaraf tidak dilakukan segera.
Semasa pilihanraya, kerja-kerja membina parit kecil di tepi jalanraya berdekatan telah dijalankan. Namun, ia terhenti di situ saja, tiada apa-apa dilakukan ke atas parit besar yang akan menampung air yang disalurkan ke dalam Air dari parit tersebut akan masuk ke dalam parit besar yang dibiarkan tanpa dinaikkan taraf. Didapati air longkang dari kawasan berdekatan juga memasukki parit besar tersebut.

Kapasiti air longkang yang besar dijangka bila hujan turun kerana air dari jalanraya juga disalurkan ke situ.
Adalah wajar bagi pihak kejuruteraan MBPJ meninjau dan memastikan parit besar tepi Masjid Dato' Hj Kamaruddin dinaikkan taraf bagi menampung kapasiti air yang bertambah.

Wednesday, September 10, 2008

Aduan - Medan Selera Jalan 223, kotor dan busuk

Banyak aduan diterima mengenai medan selera Jalan 223 daripada para pengunjung. Medan Selera 223 memang menjadi tumpuan ramai peminat-peminat makanan tempatan dan lebih-lebih lagi, harganya berpatutan.
Pekerja-pekerja kilang di sekitar kawasan serta pengunjung yang sudah bertahun pergi ke situ mencari juadah yang diminati. Namun, yang agak dikesali, tempat yang boleh menjadi satu tarikan pelancong tidak dijaga dengan baik dari segi rupa luarannya serta dari segi kesihatan dan kebersihannya.

Kerusi yang disediakan sudah patah dan pelanggan hadapi risiko jatuh dari kerusi. Bukan itu saja, parit besar yang melalui bawah medan selera tersebut, sering mengeluarkan bau busuk membuatkan pelanggan merasa meloya menjamah makanan di situ. Sampah yang ditinggalkan di tempat terbuka juga menyakitkan mata.

Setelah begitu lama tidak dinaiktaraf, sewajarnya Medan Selera 223 ini perlu dibaikpulih dan dinaikkan taraf. Peralatan yang ada perlu diganti dan kemudahan tempat solat yang lebih baik disediakan, begitu juga tahap kebersihan penjaja di situ perlu dipantau selalu.

Tuesday, September 9, 2008

Wakafton - Usaha kreatif mencari dana

15 Ogos 2008 - Sekolah Rendah Agama Ibnu Rushd, Kawasan
Melayu, Petaling Jaya telah melancarkan Program Wakafton bagi mengumpul dana. Pihak PIBG dan sekolah telah bersepakat untuk melengkapkan sekolah tersebut dengan peralatan pembelajaran yang lebih baik serta kemudahan ruangan yang ada yang lebih selesa.

Pengumpulan dana diusahakan dengan cara mengutip barangan terpakai dan kitar semula. Barangan terpakai disumbangkan oleh murid-murid dan ibu bapa mereka. Guru kemudian menghantar barangan tersebut ke pusat kitar semula.


Majlis Pelancaran Wakafton telah dirasmikan oleh ADUN Taman Medan YB Pn Haniza Mohd Talha. Dala majlis tersebut, penyerahan sijil sumbangan juga telah dibuat kepada Pengerusi PIBG SRA Ibnu Rushd.

Penekanan kepada menjaga alam sekitar perlu diterapkan dari kecil. Bukan saja anak-anak mengumpul barangan terpakai untuk dijual tetapi usaha mengitar semula itu adalah usaha yag mulia kerana ia dapat menjaga alam sekitar kita agar terus lestari.

Wednesday, August 13, 2008

Save Our Children

3 Ogos 2008 - Kisah menyayat hati penculikan Nurin Jazlin dan akhirnya kepada penemuan jasadnya di PJS 1, Petaling Jaya telah menggemparkan masyarakat di situ. Lagi mengejutkan, dua orang lagi kanak-kanak telah diculik di kawasan berdekatan; seorang sudah dijumpai dan seorang lagi masih hilang.

Adik Sharlinie masih belum dijumpai dan pihak keselamatan juga sudah memberhentikan pencarian dari rumah ke rumah, dan menunggu maklumat-maklumat baru mengenai Sharlinie.

Sementara berusaha mencari Nini, Pejabat ADUN dengan kerjasama Wanita JIM Petaling Jaya telah menganjurkan satu program kesedaran dan pendidikan "Selamatkan Anak-anak Kita"
Anak-anak diajar bagaimana berdepan dengan orang yang tidak dikenali yang cuba memberikan mereka sesuatu. Mereka juga ditunjukkan cara menjawab soalan apabila ditanya mengenai insiden cubaan menculik.
Tidak dilupakan juga, ibu bapa yang berperanan penting dalam menjaga keselamatan anak-anak juga didedahkan kepada cara mendidik anak-anak supaya sedar akan persekitaran dan sentiasa peka tentang keselamatan diri mereka.
Dalam program yang diadakan tersebut, para peserta telah diberi lencana "No To Strangers" dan sebuah sketsa dipersembahkan oleh anak-anak tadika akan bahayanya mengikut orang-orang yang tidak dikenali.

Siri Ceriakan Kawasan Taman Medan - Baiduri


2 Ogos 2008 - Dalam usaha Pejabat ADUN menceriakan kawasan Taman Medan. Kerja-kerja menaiktarafkan sudah bermula.

Pada 2 Ogos giliran Baiduri membersihkan kawasan persekitaran berdekatan Sekolah Integrasi KAFA di situ. Penduduk di sekitar telah dijemput untuk sama-sama bergotong-royong, turut serta pagawai-pegawai dari Pejabat ADUN, MBPJ dan Alam Flora yang menyediakan peralatan,

Syabas dan JK Masjid Dato' Hj Kamaruddin.

Kawasan yang dibersihkan adalah laluan penduduk termasuk murid-murid sekolah Integrasi KAFA, ke pangsapuri Impian Baiduri yang berdekatan.

YB. Pn Haniza Mohd Talha juga telah turut serta dalam gotong-royong tersebut, beliau kelihatan sedang menebang pokok petai di kawasan semak berdekatan.
Penduduk di kawasan Baiduri telah berbincang untuk menggunakan sementara kawasan tersebut sebelum ia dibangunkan untuk bangunan sekolah KAFA yang kekal pada tahun 2010.

Mangsa Kebakaran mendapat Pembelaan

31 Julai 2008 - Mangsa kebakaran di PJS2 telah menerima bantuan kemusnahan harta benda daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS telah menyumbang RM2,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan maksimum dan dua lagi pemilik/penyewa sebanyak RM1,000 setiap seorang.

ADUN Taman Medan Pn Haniza Mohd Talha telah hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut dan juga sumbangan daripada Pejabat ADUN sendiri.
(ADUN Taman Medan sedang menyerahkan cek sumbangan LZS disaksikan oleh Nazir Masjid Jumhuriah Taman Dato Harun dan Ketua Operasi Wilayah Barat LZS Ahmad Mustofa)

Adalah difahamkan, LZS akan menyalurkan bantuan dengan serta-merta selepas mendapat p-emakluman akan kejadian dan laporan polis mengenai kejadian. Pesanan bagi mana-mana pihak yang mungkin berdepan dengan musibah yang serupa boleh bertindak segera menyerahkan laporan polis kepada pihak LZS untuk tindakan selanjutnya.

Kejohanan Boling Piala Ketua Wanita YB Haniza yang pertama

27 Julai 2008 - Wanita Keadilan Selangor telah menganjurkan Kejohanan Boling Piala Ketua Wanita YB Haniza, bagi seluruh Selangor. Terdapat 22 kumpulan yang bertanding merebut piala pusingan tersebut.
(Foto 1: Ketua Wanita Keadilan Selangor yang juga ADUN Taman Medan berjumpa dengan pasukan-pasukan boling yang mengambil bahagian, bersamanya Datin Aminah Bendahari Wanita selaku pengarah kejohanan)

Setiap pasukan boleh terdiri daripada semua wanita, semua lelaki atau gabungan lelaki dan wanita. Acara telah diadakan di Subang Jaya.

Setelah masing-masing pasukan menunjukkan kehebatan mereka, pasukan dari Kapar telah muncul juara buat kejohanan kali ini.
(Foto 2: Peserta-peserta yang mengambil bahagian adalah dari golongan tua dan muda, lelaki dan perempuan)
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai, hamper dan piala pusingan.

Syabas diucapkan kepada jawatankuasa penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan acara pada hari tersebut.

Soalan ADUN Taman Medan dan Jawapan Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Pertama

Soalan No. 10

Tajuk : Pencemaran Udara Di Lombong PJS 3, Taman Medan

10. Pencemaran toksik yang dikeluarkan hasil daripada pembuangan sampah secara haram yang masih berterusan di lombong PJS 3, Taman Medan. Gas hydrogen sulfide yang dikeluarkan ke udara telah merosakkan harta benda awam, mengeluarkan bau yang busuk dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.

Bertanya kepada Y.A.B Dato' Menteri Besar:

a) Siapakah pemilik lombong tersebut dan apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Beri butiran syarikat/individu pemilik kawasan tersebut dan keluasan yang dimiliki.

b) Siapa yang bertanggungjawab membiayai kos merawat lombong yang tercemar tersebut dan berapa lama rawatan perlu dijalankan?

c) Syarikat manakah yang menjalankan rawatan tersebut dan apakah kadar toksik sejak mula dikesan sehingga kini, dan kaedah rawatan yang dijalankan?



Soalan dijawab oleh Y.B. Cik Elizabeth Wong Keat Ping

Kawasan bekas lombong seluas lebih kurang 114 ekar di kawasan Taman Sri Manja PJS 3, telah diberi milik kepada 5 pemaju iaitu:

i)
Nama Pemaju : Tetuan Susunan Baru Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 2.80 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah pangsa kos sederhana murah

ii) Nama Pemaju : Tetuan Maju Jaya Sdn Bhd
No. Lot : PT 5225 sebahagian Lot 25520
Luas Tapak : 10.331 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

iii) Nama Pemaju : Tetuan Buana Perdana Sdn Bhd
No. Lot : sLot PT 6489
Luas Tapak : 10.56 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah teres 2 tingkat (228 unit)

iv) Nama Pemaju : Tetuan Lagenda Kencana Sdn Bhd
No. Lot : Lot PT 12813 hingg PT 12817
Luas Tapak : 71 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

v) Nama Pemaju : Tetuan Peter's Bricksworks Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 9.37 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah kos rendah dan industri teres


Walaubagaimanapun, hanya lebih kurang 10 ekar kawasan lombong iaitu milik Tetuan Lagenda Kencana Sdn. Bhd. yang belum ditambak untuk pembangunan. Daripada tahun 2004 hingga 2006, pihak yang bertanggungjawab membiayai ks rawatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM3.4 juta. Dari tahun 2007 hingga sekarang, kos rawatan dibiayai oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 4.8 juta. Rawatan lombong ini akan diteruskan sehingga lombong ditimbus sepenuhnya. Setakat ini terdapat 3 buah syarikat telah dilantik untuk menjalankan rawatan mulai tahun 2004 iaitu:

i) Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA)
ii) Geo Kinetics Sdn. Bhd.
iii) Kunci Produktif Sdn. Bhd.

Semasa kes ini mula dikesan, bacaan tertinggi yang dicatatkan hasil pemantauan adalah 600ppm. Mulai tahun 2005 hingga kini, tahap bacaan gas adalah stabil kecuali semasa hujan. Kaedah rawatan yang digunakan ialah Bahan Biologi dan Bahan Kimia.