Thursday, July 31, 2008

Keindahan Bersama Mu


27 Julai 2008 - Para pelajar tingkatan 2-5 telah menghadiri satu Program Keindahan Bersama-Mu anjuran Kelab Remaja JIM Petaling Jaya. Seramai 70 peserta pelajar lelaki dan perempuan telah melalui sesi telusuri kehidupan seorang remaja.

Di akhir program sehari semalam itu, ibu bapa telah turut hadir dan sama-sama berkongsi harapan serta doa yang sering mereka ungkapkan untuk anak-anak yang dikasihi.


ADUN Taman Medan Pn Haniza Talha telah menyampaikan sijil penyertaan dan berharap para peserta akan terus istiqamah dengan perkara yang dipelajari dan menyampaikan kebaikan tersebut kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang untuk turut serta.

Seruan kepada para ibu bapa agar sentiasa memberi nasihat dan teguran yang positif. Jika setiap yang salah ditegur, mengapa tidak setiap yang baik diberi pujian dan galakan.

Terima kasih diucapkan kepada Kelab Remaja JIM Petaling Jaya dan JIM Petaling Jaya.

Pelajar-pelajar yang hadir adalah dari SMK Taman Medan dan SMK Dato' Harun

Kempen Prihatin Penjagaan Mata

Kedatangan para penduduk yang ingin mendapatkan tempahan cermin mata pada harga diskaun iaitu sepasang cuma RM50. Mereka sudah menunggu seawal 9 pagi sedangkan perkhidmatan bermula 10 pagi.

Pengunjung terpaksa menunggu giliran untuk pemeriksaan mata dan membuat tempahan.
Jemput datang melihat pameran mengenai penjagaan mata dan dapatkan tempahan cermin mata dengan harga diskaun. Pemeriksaan mata akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Taman Medan (Pejabat ADUN Taman Medan).

Tarikh: 3 Ogos 2008, Ahad
Masa: 10.00 pagi hingga 3.00 petang

Terbuka kepada semua yang tinggal di kawasan DUN Taman Medan. Pemeriksaan mata adalah percuma, anda hanya perlu bayar untuk tempahan cermin iaitu RM 50 sepasang.

Friday, July 25, 2008

Program Mesra Rakyat di PJS 4

20 Julai 2008 - Program Mesra Rakyat yang pertama kali diadakan di PJS 4 telah berjalan dengan baik. Syabas diucapkan kepada jawatankuasa penganjur iaitu Jawatankuasa Daerah Mengundi PJS 4, yang diketuai oleh En. Ahmad Rizkan.


Acara yang pelbagai telah disediakan; ceramah, sukaneka, melukis, penyampaian sumbangan dll.


Para petugas kelihatan segak dengan pakaian seragam mereka.

ADUN Taman Medan YB Haniza telah mengingatkan hadirin bahawa selepas 100 hari, Kerajaan PR negeri Selangor menawarkan tujuh tawaran menarik untuk anak Selangor.

Rakyat telah diberi 20m padu air percuma, takaful untuk warga mas, hadiah RM1,000 kepada pelajar yang berjaya memasuki universiti bermula tahun pengajian pada 2008, One-Stop crisis centre dll.


Penduduk sekitar PJS 4 boleh hubungi En. Ahmad Rizkan 019-2925944 untuk pertanyaan berkaitan bantuan kerajaan negeri Selangor dan aktiviti Pejabat ADUN Taman Medan.

Lawatan ke Pasar Pagi Taman Medan

20 Julai 2008 - Pasar pagi Taman Medan menjadi tumpuan untuk membeli barangan bagi penduduk sekitar kawasan. Namun, kini semua pengunjung berfikir dua atau tiga kali bila membeli kerana mengira sama ada ia dalam 'budget' atau tidak.

Kenaikan harga barangan sangat memeritkan terutama sekali kepada keluarga besar yang pendapatannya RM1500 dan ke bawah.


Dalam lawatan YB Haniza ke tapak pasar mendapati ramai peniaga tiada lesen berniaga. Menurut mereka, pemberian lesen telah dibekukan oleh MBPJ buat sekian lama sudah.


Masalah lain ialah keadaan pengurusan sampah yang teruk, sampah-sarap berselerak atas jalan tiada tong sampah. Binatang ternakan berkeliaran dan membuatkan keadaan bertambah kotor dengan najis bertaburan.


Aduan lain yang sering diterima juga ialah berleluasanya peniaga-peniaga warga asing di tapak.



Masalah ini bukan saja dihadapi di tapak pasar pagi Taman Medan sahaja tetapi di merata tapak pasar pagi/malam, pasar basah/kering. Pegawai penguatkuasa seolah-olah sudah tiada kaedah bagi mengatasi masalah kebanjiran peniaga asing ini.


Pejabat ADUN telah membuka meja aduan di tapak pasar agar segala permasalahan dapat dikumpul dan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib.

Beras, gula & susu untuk yang memerlukan

19 Julai 2008 - Kerajaan yang prihatin sentiasa berusaha meringankan beban yang dipikul oleh rakyat. Begitulah Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor yang telah meluluskan peruntukan bagi membantu keluarga miskin. Walaupun bantuan yang diberi nampak kecil tetapi dalam keadaan ekonomi yang gawat ini, setiap sumbangan sangat bermakna.

Pangsapuri Desa Sepakat, Sri Manja telah mengumpulkan seramai 60 orang warga mas, ibu tunggal dan orang kurang upaya bagi menerima sumbangan beras, gula dan susu. Penyerahan dilakukan oleh ADUN Taman Medan, YB Pn Haniza Talha.
Begitu juga di Pangsapuri Impian Baiduri, Petaling Jaya yang mengagihkan bantuan sama kepada kira-kira 30 orang. Nama-nama baru telah diambil selepas selesai penyerahan bagi pengagihan yang kedua.

Wednesday, July 23, 2008

Motivasi untuk pelajar penting



19 Julai 2008 - Pelajar UPSR akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Persiapan bagi menghadapinya sedang dijalanka oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Persatuan Kebajikan Penduduk Blok C & D PJS 1 dan Rukun Tetangga PJS 1 telah menganjurkan sesi motivasi bagi pelajar-pelajar tahun 6 di situ.
Usaha yang wajar dicontohi dan diteruskan dengan pengisian lain bagi memberi keyakinan diri dan pendedahan pada pelajar-pelajar. Motovasi bukan saja diadakan bagi menghadapi peperiksaan tetapi motivasi perlu diberi kepada anak-anak dalam mengharungi kehidupan.

Mereka perlu didedahkan kepada pengalaman hidup yang bermakna dan justeru itu membuka minda untuk terus cemerlang dan mengecap kehidupan yang seimbang.

Monday, July 14, 2008

Berdialog dengan warga mas PJS 2C

13 Julai 2008 - Majlis Perjumpaan Ramah Mesra dan Suaikenal telah diadakan oleh Persatuan Kebajikan Penduduk PJS 2C. Walaupun rata-rata ahli persatuan daripada kalangan warga mas, namun mereka tetap bersemangat dan menunjuk minat mengikuti perkembangan semasa.

Di samping memperkenalkan diri beliau, ADUN Taman Medan telah mengedarkan naskah Merakyatkan Ekonomi Selangor Fasa 1 terbitan Kerajaan Negeri Selangor. Penerangan telah diberikan kepada hadirin akan tawaran-tawaran oleh kerajaan negeri khususnya kepada warga mas.

Para hadirin telah diberi peluang bersoal-jawab dengan ADUN Taman Medan dan Ahli Parlimen PJS. Antara perkara yang dibangkitkan adalah isu banjir, tol NPE, pembersihan kawasan oleh kontraktor terbabit dan pemberian lesen berniaga kepada peniaga kecil.

Forum Wanita dan Politik

Foto: dari kanan MP Kuala Kedah, Timbalan Speaker DUN Selangor, Moderator, MP Ampang
12 Julai 2008 - ADUN Taman Medan merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor telah menjadi salah seorang ahli panel kepada Forum Wanita dan Politik di Merbok, Kedah.

Forum tersebut mengupas maksud politik yang sebenar serta pentingnya penglibatan wanita dalam arena politik.

Orang ramai sering mengaitkan politik dengan politik kepartaian yang agak sempit. Politik sebenarnya adalah segala urusan berkaitan manusia baik ia dalam parti politik, di tempat kerja, di jabatan kerajaan dll.

Penglibatan wanita memerlukan tindakan affirmative bagi memberi peluang kepada wanita untuk berperanan dalam peringkat membuat keputusan di semua peringkat. Pandangan dari perspektif wanita ternyata berbeza dengan lelaki kerana wanita peka dengan permasalahan yang di hadapi wanita (yang merupakan separuh daripada penduduk Malaysia).

Wanita tidak boleh setakat memainkan peranan 'secondary' sahaja kerana sering kali dilupakan oleh mereka yang berada di tahap pembuat dasar dan polisi.

Dalam forum tersebut, ternyata pandangan stereotaip terhadap wanita, menyalahkan wanita yang melibatkan diri dalam politik jika berlaku masalah dalam keluarga, sedangkan lelaki (ahli politik) tidak dilihat bersalah jika ada masalah rumahtangga.

Ceriakan Kawasan Taman Medan - Tapak Maha

13 Julai 2008 - Kerja gotong-royong telah diadakan di Tapak Maha, Taman Dato' Harun abru-baru ini yang melibatkan pihak Persatuan Kebajikan Penduduk Flat PKNS, MBPJ, Syabas dan Pejabat ADUN.

Kerja membersih berjalan seperti yang dirancangkan dengan penglibatan penghuni-penghuni flat dan rakan-rakan dari luar kawasan flat, anggota Syabas dan peralatan, jentera serta anak pokok daripada MBPJ. PKNS tidak hadir walaupun sudah menyatakan kehadiran wakilnya dalam program tersebut.

Turut hadir dalam gotong-royong tersebut adalah Ahli Parlimen PJS. Tinjauan oleh ADUN Taman Medan mendapati keadaan flat PKNS tersebut amat memerlukan kerja-kerja pembaikan dengan kerosakan kepada corong sampah dan tempat pengumpulan sampah yang sudah rosak teruk.

Bangunan yang sudah lebih sepuluh tahun tidak dicat, perlu dicat semula. Pejabat ADUN sudahpun duduk berbincang dengan pembekal cat bagi tajaan cat serta kerja-kerja mengecat.

Golongan belia juga turut serta dalam kerja gotong-royong. Perbincangan dengan mereka mendapati ada keperluan kepada gelanggang serbaguna bagi menggantikan gelanggang sepak takraw dan badminton yang sedia ada. ADUN berjanji akan mengkaji permohonan tersebut jika ia memenuhi keperluan majoriti penduduk.

Monday, July 7, 2008

Perlantikan Ahli-ahli Majlis MBPJ



Foto 1: ADUN Taman Medan sedang membincangkan sesuatu dengan Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Roslan Sakiman

Foto 2: Majlis Mengangkat Sumpah Ahli-ahli Majlis MBPJ di Bilik Bunga Tanjung, MBPJ

1 Julai 2008 - Majlis Mengangkat Sumpah Ahli-ahli Majlis MBPJ telah diadakan pada 1 Julai lalu. Seramai 24 orang ahli majlis baru yang terdiri daripada ahli parti daripada Pakatan Rakyat dan ahli profesional dan pemimpin masyarakat.

Kesemua ahli majlis yang dilantik adalah muka baru dan antara latarbelakang yang dimiliki; undang-undang, perancang bandar, akauntan dan aktivis hak asasi manusia.

Gabungan antara yang muda dan lama juga berbilang kaum, yang sempurna dan yang kurang upaya, diharap akan menghasilkan kerjasama yang erat bagi memenuhi harapan baru rakyat.

Bagi melicinkan lagi kerja ahli-ahli majlis kali ini, mereka disediakan pejabat dan seorang pembantu khas. Tiada lagi alasan untuk mengatakan tidak dapat berkhidmat kepada rakyat kerana terpaksa menanggung kos operasi.

Prestasi mereka akan dipantau dan selepas tempoh setahun, hanya mereka yang menunjukkan prestasi yang baik dikekalkan. Bagi yang hanya duduk di kerusi ahli majlis kerana mahukan kedudukan tersebut, hati-hati, anda akan dipantau dan jangan tersilap langkah.

Berikan yang terbaik dan Selamat Bertugas.

Perasmian Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Taman Medan

22 Jun 2008 - Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Taman Medan telah dilakukan oleh YAB Dato'Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad 22 Jun 2008 lalu. Penduduk di kawasan Taman Medan telah turut serta pemimpin-pemimpin dari kerajaan Pakatan Rakyat dan pengarah-pengarah agensi-agensi kerajaan seperti PKNS, Syabas, Pasukan Penyelamat Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, MBPJ, Lembaga Zakat Selangor, dll.

ADUN Taman Medan dalam ucapan aluannya telah menyatakan usaha bagi mencari jalan penyelesaian kepada menyediakan perumahan mampu milik oleh keluarga berpendapatan rendah pada masa yang sama memberikan kediaman yang selesa bagi mereka. "Affordable quality homes" yang dicadngkan oleh beliau akan melibatkan badan non-profit organisation yang akan membina rumah-rumah kediaman tersebut. Penggunaan bahan binaan yang berpatutan dan tidak kompromi dari segi kualiti akan digunakan. (Kanan: Antara mereka yang menjayakan majlis perasmian pada hari tersebut, terima kasih terutama pada wanita dan angkatan muda Keadilan)

YAB Dato' Menteri Besar juga telah menyatakan cadangan Kerajaan Negeri Selangor yang akan mengkaji semula kaedah penyediaan rumah "Built n Sell" iaitu, membina rumah dahulu kemudian menjualnya. Kaedah demikian adalah bagi mengelak masalah projek rumah terbengkalai, yang telah banyak menimbulkan masalah kalangan pembeli.

Thursday, July 3, 2008

Pencemaran di Lombong PJS 3 Sri Manja





Foto 1: Kolam yang telah dimasukkan bahan bio-kimia bagi merawat air lombong yang tercemar

Foto 2: ADUN Taman Medan (dua dari kiri) sedang bertanya kaedah rawatan kepada pegawai ASMA

Foto 3: Kolam-kolam yang mengumpulkan air dari dasar lombong.

22 Jun 2008 - Lawatanke lombong PJS3 kawasan Taman Medan bersama Alam Sekitar Msia Sdn Bhd (ASMA), wakil MBPJ, wakil penduduk dan beberapa jurutera alam sekitar.

Menurut pegawai ASMA yang telah mejalankan rawatan pada air lombong tersebut, bacaan persampelan udara telah mencatatkan bacaan yang rendah berbanding 3 tahun dulu. Namun, bau busuk gas hidrogen sulfida masih dapat dihidu di sekitar kawasan lombong. Bau busuk tersebut sangat kuat bila hujan turun.

Penduduk sekitar mengadu mereka mengalami sakit dada dan masalah kesihatan berkaitan pernafasan dan barangan daripada besi rosak akibat kesan gas berbahaya tersebut.

ADUN telah menyatakan rasa bimbang beliau akan kesan kesihatan kepada penduduk sekitar dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku kematian akibat menghidu gas berbahaya dan kerosakan harta bendayang dialami. Kebimbangan ADUN sebelum ini telah dibawa ke perbahasan Dewan Undnagan Negeri Selangor mesyuarat kedua, Mei lepas.

Kejohanan Futsal Piala Dr T Kali ke-4



22 Jun 2008 - Kejohanan Futsal Piala Dr. T kali ke-4 telah diadakan di gelanggang D'Samba Futsal Petaling Jaya. Kejohanan tersebut telah mengumpulkan sebanyak 16 pasukan kategori remaja, 16 pasukan kategori dewasa dan 9 pasukan kategori veteran.

ADUN Taman Medan telah diundang untuk merasmikan kejohanan tersebut. Melihatkan popularnya sukan futsal kalangan belia, ADUN Taman Medan sedang merancang untuk adakan piala pusingan ADUN pada tahun akan depan. Hal itu akan seiring dengan pembukaan gelanggang baru bagi Kawasan Taman Medan.

Gotong-royong oleh penduduk Blok M Petaling Utama


22 Jun 2008 - Penghuni pangsapuri Petaling Utama, Blok M (foto 1: penghuni berkumpul untuk taklimat sebelum gotong-royong) telah mengadakan gotong-royong dan mengecat bangunan. Sikap proaktif penghuni pangsapuri ini wajar dicontohi. Mereka telah mendapatkan sumbangan cat bagi mengecat dinding dan 'handrail' tangga.

Pengerusinya Encik Abdul Razak (foto 2, sedang bercakap) telah menyatakan hasrat penghuni di situ yang ingin mengadakan dewan kecil bagi aktiviti-aktiviti penghuni dan setor bagi menyimpan barang kenduri-kendara.
ADUN Taman Medan (Foto 2: dua dari kanan) telah mendengar dan memaklumkan kepada penghuni bahawa setiap binaan perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tapak dan kelulusan MBPJ. ADUN telah menyatakan kerjasama dan sokongan jika sekiranya ia mengikut garis panduan yang dibenarkan.

Soalan ADUN Taman Medan dan Jawapan Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Pertama

Soalan No. 10

Tajuk : Pencemaran Udara Di Lombong PJS 3, Taman Medan

10. Pencemaran toksik yang dikeluarkan hasil daripada pembuangan sampah secara haram yang masih berterusan di lombong PJS 3, Taman Medan. Gas hydrogen sulfide yang dikeluarkan ke udara telah merosakkan harta benda awam, mengeluarkan bau yang busuk dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.

Bertanya kepada Y.A.B Dato' Menteri Besar:

a) Siapakah pemilik lombong tersebut dan apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Beri butiran syarikat/individu pemilik kawasan tersebut dan keluasan yang dimiliki.

b) Siapa yang bertanggungjawab membiayai kos merawat lombong yang tercemar tersebut dan berapa lama rawatan perlu dijalankan?

c) Syarikat manakah yang menjalankan rawatan tersebut dan apakah kadar toksik sejak mula dikesan sehingga kini, dan kaedah rawatan yang dijalankan?



Soalan dijawab oleh Y.B. Cik Elizabeth Wong Keat Ping

Kawasan bekas lombong seluas lebih kurang 114 ekar di kawasan Taman Sri Manja PJS 3, telah diberi milik kepada 5 pemaju iaitu:

i)
Nama Pemaju : Tetuan Susunan Baru Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 2.80 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah pangsa kos sederhana murah

ii) Nama Pemaju : Tetuan Maju Jaya Sdn Bhd
No. Lot : PT 5225 sebahagian Lot 25520
Luas Tapak : 10.331 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

iii) Nama Pemaju : Tetuan Buana Perdana Sdn Bhd
No. Lot : sLot PT 6489
Luas Tapak : 10.56 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah teres 2 tingkat (228 unit)

iv) Nama Pemaju : Tetuan Lagenda Kencana Sdn Bhd
No. Lot : Lot PT 12813 hingg PT 12817
Luas Tapak : 71 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

v) Nama Pemaju : Tetuan Peter's Bricksworks Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 9.37 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah kos rendah dan industri teres


Walaubagaimanapun, hanya lebih kurang 10 ekar kawasan lombong iaitu milik Tetuan Lagenda Kencana Sdn. Bhd. yang belum ditambak untuk pembangunan. Daripada tahun 2004 hingga 2006, pihak yang bertanggungjawab membiayai ks rawatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM3.4 juta. Dari tahun 2007 hingga sekarang, kos rawatan dibiayai oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 4.8 juta. Rawatan lombong ini akan diteruskan sehingga lombong ditimbus sepenuhnya. Setakat ini terdapat 3 buah syarikat telah dilantik untuk menjalankan rawatan mulai tahun 2004 iaitu:

i) Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA)
ii) Geo Kinetics Sdn. Bhd.
iii) Kunci Produktif Sdn. Bhd.

Semasa kes ini mula dikesan, bacaan tertinggi yang dicatatkan hasil pemantauan adalah 600ppm. Mulai tahun 2005 hingga kini, tahap bacaan gas adalah stabil kecuali semasa hujan. Kaedah rawatan yang digunakan ialah Bahan Biologi dan Bahan Kimia.