Thursday, July 31, 2008

Keindahan Bersama Mu


27 Julai 2008 - Para pelajar tingkatan 2-5 telah menghadiri satu Program Keindahan Bersama-Mu anjuran Kelab Remaja JIM Petaling Jaya. Seramai 70 peserta pelajar lelaki dan perempuan telah melalui sesi telusuri kehidupan seorang remaja.

Di akhir program sehari semalam itu, ibu bapa telah turut hadir dan sama-sama berkongsi harapan serta doa yang sering mereka ungkapkan untuk anak-anak yang dikasihi.


ADUN Taman Medan Pn Haniza Talha telah menyampaikan sijil penyertaan dan berharap para peserta akan terus istiqamah dengan perkara yang dipelajari dan menyampaikan kebaikan tersebut kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang untuk turut serta.

Seruan kepada para ibu bapa agar sentiasa memberi nasihat dan teguran yang positif. Jika setiap yang salah ditegur, mengapa tidak setiap yang baik diberi pujian dan galakan.

Terima kasih diucapkan kepada Kelab Remaja JIM Petaling Jaya dan JIM Petaling Jaya.

Pelajar-pelajar yang hadir adalah dari SMK Taman Medan dan SMK Dato' Harun

Kempen Prihatin Penjagaan Mata

Kedatangan para penduduk yang ingin mendapatkan tempahan cermin mata pada harga diskaun iaitu sepasang cuma RM50. Mereka sudah menunggu seawal 9 pagi sedangkan perkhidmatan bermula 10 pagi.

Pengunjung terpaksa menunggu giliran untuk pemeriksaan mata dan membuat tempahan.
Jemput datang melihat pameran mengenai penjagaan mata dan dapatkan tempahan cermin mata dengan harga diskaun. Pemeriksaan mata akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Taman Medan (Pejabat ADUN Taman Medan).

Tarikh: 3 Ogos 2008, Ahad
Masa: 10.00 pagi hingga 3.00 petang

Terbuka kepada semua yang tinggal di kawasan DUN Taman Medan. Pemeriksaan mata adalah percuma, anda hanya perlu bayar untuk tempahan cermin iaitu RM 50 sepasang.

Friday, July 25, 2008

Program Mesra Rakyat di PJS 4

20 Julai 2008 - Program Mesra Rakyat yang pertama kali diadakan di PJS 4 telah berjalan dengan baik. Syabas diucapkan kepada jawatankuasa penganjur iaitu Jawatankuasa Daerah Mengundi PJS 4, yang diketuai oleh En. Ahmad Rizkan.


Acara yang pelbagai telah disediakan; ceramah, sukaneka, melukis, penyampaian sumbangan dll.


Para petugas kelihatan segak dengan pakaian seragam mereka.

ADUN Taman Medan YB Haniza telah mengingatkan hadirin bahawa selepas 100 hari, Kerajaan PR negeri Selangor menawarkan tujuh tawaran menarik untuk anak Selangor.

Rakyat telah diberi 20m padu air percuma, takaful untuk warga mas, hadiah RM1,000 kepada pelajar yang berjaya memasuki universiti bermula tahun pengajian pada 2008, One-Stop crisis centre dll.


Penduduk sekitar PJS 4 boleh hubungi En. Ahmad Rizkan 019-2925944 untuk pertanyaan berkaitan bantuan kerajaan negeri Selangor dan aktiviti Pejabat ADUN Taman Medan.

Lawatan ke Pasar Pagi Taman Medan

20 Julai 2008 - Pasar pagi Taman Medan menjadi tumpuan untuk membeli barangan bagi penduduk sekitar kawasan. Namun, kini semua pengunjung berfikir dua atau tiga kali bila membeli kerana mengira sama ada ia dalam 'budget' atau tidak.

Kenaikan harga barangan sangat memeritkan terutama sekali kepada keluarga besar yang pendapatannya RM1500 dan ke bawah.


Dalam lawatan YB Haniza ke tapak pasar mendapati ramai peniaga tiada lesen berniaga. Menurut mereka, pemberian lesen telah dibekukan oleh MBPJ buat sekian lama sudah.


Masalah lain ialah keadaan pengurusan sampah yang teruk, sampah-sarap berselerak atas jalan tiada tong sampah. Binatang ternakan berkeliaran dan membuatkan keadaan bertambah kotor dengan najis bertaburan.


Aduan lain yang sering diterima juga ialah berleluasanya peniaga-peniaga warga asing di tapak.



Masalah ini bukan saja dihadapi di tapak pasar pagi Taman Medan sahaja tetapi di merata tapak pasar pagi/malam, pasar basah/kering. Pegawai penguatkuasa seolah-olah sudah tiada kaedah bagi mengatasi masalah kebanjiran peniaga asing ini.


Pejabat ADUN telah membuka meja aduan di tapak pasar agar segala permasalahan dapat dikumpul dan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib.

Beras, gula & susu untuk yang memerlukan

19 Julai 2008 - Kerajaan yang prihatin sentiasa berusaha meringankan beban yang dipikul oleh rakyat. Begitulah Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor yang telah meluluskan peruntukan bagi membantu keluarga miskin. Walaupun bantuan yang diberi nampak kecil tetapi dalam keadaan ekonomi yang gawat ini, setiap sumbangan sangat bermakna.

Pangsapuri Desa Sepakat, Sri Manja telah mengumpulkan seramai 60 orang warga mas, ibu tunggal dan orang kurang upaya bagi menerima sumbangan beras, gula dan susu. Penyerahan dilakukan oleh ADUN Taman Medan, YB Pn Haniza Talha.
Begitu juga di Pangsapuri Impian Baiduri, Petaling Jaya yang mengagihkan bantuan sama kepada kira-kira 30 orang. Nama-nama baru telah diambil selepas selesai penyerahan bagi pengagihan yang kedua.

Wednesday, July 23, 2008

Motivasi untuk pelajar penting



19 Julai 2008 - Pelajar UPSR akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Persiapan bagi menghadapinya sedang dijalanka oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Persatuan Kebajikan Penduduk Blok C & D PJS 1 dan Rukun Tetangga PJS 1 telah menganjurkan sesi motivasi bagi pelajar-pelajar tahun 6 di situ.
Usaha yang wajar dicontohi dan diteruskan dengan pengisian lain bagi memberi keyakinan diri dan pendedahan pada pelajar-pelajar. Motovasi bukan saja diadakan bagi menghadapi peperiksaan tetapi motivasi perlu diberi kepada anak-anak dalam mengharungi kehidupan.

Mereka perlu didedahkan kepada pengalaman hidup yang bermakna dan justeru itu membuka minda untuk terus cemerlang dan mengecap kehidupan yang seimbang.

Monday, July 14, 2008

Berdialog dengan warga mas PJS 2C

13 Julai 2008 - Majlis Perjumpaan Ramah Mesra dan Suaikenal telah diadakan oleh Persatuan Kebajikan Penduduk PJS 2C. Walaupun rata-rata ahli persatuan daripada kalangan warga mas, namun mereka tetap bersemangat dan menunjuk minat mengikuti perkembangan semasa.

Di samping memperkenalkan diri beliau, ADUN Taman Medan telah mengedarkan naskah Merakyatkan Ekonomi Selangor Fasa 1 terbitan Kerajaan Negeri Selangor. Penerangan telah diberikan kepada hadirin akan tawaran-tawaran oleh kerajaan negeri khususnya kepada warga mas.

Para hadirin telah diberi peluang bersoal-jawab dengan ADUN Taman Medan dan Ahli Parlimen PJS. Antara perkara yang dibangkitkan adalah isu banjir, tol NPE, pembersihan kawasan oleh kontraktor terbabit dan pemberian lesen berniaga kepada peniaga kecil.

Soalan ADUN Taman Medan dan Jawapan Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Pertama

Soalan No. 10

Tajuk : Pencemaran Udara Di Lombong PJS 3, Taman Medan

10. Pencemaran toksik yang dikeluarkan hasil daripada pembuangan sampah secara haram yang masih berterusan di lombong PJS 3, Taman Medan. Gas hydrogen sulfide yang dikeluarkan ke udara telah merosakkan harta benda awam, mengeluarkan bau yang busuk dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.

Bertanya kepada Y.A.B Dato' Menteri Besar:

a) Siapakah pemilik lombong tersebut dan apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Beri butiran syarikat/individu pemilik kawasan tersebut dan keluasan yang dimiliki.

b) Siapa yang bertanggungjawab membiayai kos merawat lombong yang tercemar tersebut dan berapa lama rawatan perlu dijalankan?

c) Syarikat manakah yang menjalankan rawatan tersebut dan apakah kadar toksik sejak mula dikesan sehingga kini, dan kaedah rawatan yang dijalankan?



Soalan dijawab oleh Y.B. Cik Elizabeth Wong Keat Ping

Kawasan bekas lombong seluas lebih kurang 114 ekar di kawasan Taman Sri Manja PJS 3, telah diberi milik kepada 5 pemaju iaitu:

i)
Nama Pemaju : Tetuan Susunan Baru Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 2.80 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah pangsa kos sederhana murah

ii) Nama Pemaju : Tetuan Maju Jaya Sdn Bhd
No. Lot : PT 5225 sebahagian Lot 25520
Luas Tapak : 10.331 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

iii) Nama Pemaju : Tetuan Buana Perdana Sdn Bhd
No. Lot : sLot PT 6489
Luas Tapak : 10.56 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah teres 2 tingkat (228 unit)

iv) Nama Pemaju : Tetuan Lagenda Kencana Sdn Bhd
No. Lot : Lot PT 12813 hingg PT 12817
Luas Tapak : 71 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

v) Nama Pemaju : Tetuan Peter's Bricksworks Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 9.37 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah kos rendah dan industri teres


Walaubagaimanapun, hanya lebih kurang 10 ekar kawasan lombong iaitu milik Tetuan Lagenda Kencana Sdn. Bhd. yang belum ditambak untuk pembangunan. Daripada tahun 2004 hingga 2006, pihak yang bertanggungjawab membiayai ks rawatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM3.4 juta. Dari tahun 2007 hingga sekarang, kos rawatan dibiayai oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 4.8 juta. Rawatan lombong ini akan diteruskan sehingga lombong ditimbus sepenuhnya. Setakat ini terdapat 3 buah syarikat telah dilantik untuk menjalankan rawatan mulai tahun 2004 iaitu:

i) Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA)
ii) Geo Kinetics Sdn. Bhd.
iii) Kunci Produktif Sdn. Bhd.

Semasa kes ini mula dikesan, bacaan tertinggi yang dicatatkan hasil pemantauan adalah 600ppm. Mulai tahun 2005 hingga kini, tahap bacaan gas adalah stabil kecuali semasa hujan. Kaedah rawatan yang digunakan ialah Bahan Biologi dan Bahan Kimia.