Tuesday, May 13, 2008

Tol NPE Membebankan Orang Kampung – Haniza Talha

PETALING JAYA, 7 Mei (SK)- Kadar tol yang terlalu tinggi di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menyebabkan penduduk di kawasan sekitar Taman Medan tertekan. Bagi penduduk tempatan, mereka terpaksa berulang-alik setiap hari menggunakan NPE kerana tiada jalan alternatif untuk pulang ke Taman Medan atau keluar ke bandar-bandar berhampiran yang lain.

Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) kawasan Taman Medan Haniza Talha berkata demikian di sidang akhbar yang diadakan di pejabat beliau pada 7 Mei lalu.

Menurut Haniza, penduduk Taman Medan terpaksa membayar RM 1.60 untuk laluan sehala yang dibina oleh JKR sedangkan NPE hanya menaiktaraf sahaja jalan tersebut.

Haniza, yang merupakan timbalan speaker negeri Selangor menggesa kerajaan supaya mengkaji kadar tol di NPE ini kerana keADILan bimbang ia akan membebankan lagi masalah rakyat yang kian meruncing dengan tekanan ekonomi yang melanda sekarang.

Menurut beliau lagi, kewujudan tol di NPE ini menyebabkan beberapa permasalahan serius di kawasan itu. Tambahnya, pernah hampir berlaku kemalangan di kawasan sekolah berhampiran apabila murid sekolah melintas jalan kerana keadaan jalan yang terlalu sesak.

Beliau menambah laluan motorsikal dari Petaling Jaya menghala Lebuhraya Persekutuan amat merbahaya kerana terpaksa memotong lima lorong kereta. Telah banyak berlaku kemalangan membabitkan motorsikal dan kereta.

Tambahnya lagi, kenderaan berat yang cuba mengelak dari menbayar tol, memasuki jalan dalam kawasan Taman Medan yang menyebabkan kawasan berlaku kesesakan.

Haniza dengan itu menggesa kerajaan supaya mendirikan tembok penghadang dan tembok bunyi untuk melindungi anak-anak yang pulang dari sekolah.

Haniza turut mengingatkan kerajaan supaya meneliti perkara ini dengan serius. Beliau mengkritik usaha kerajaan untuk menaikkan kadar tol di kawasan kerana ia akan memburukkan permasalahan di kawasannya.

Haniza memaklumkan lagi bermula 1 Januari 2009 NPE akan menaikkan kadar bayaran tol sebanyak RM 2.00 dan ini amat membebankan.

Dan apabila keadaan ini berlaku maka lebih banyaklah lagi kenderaan-kenderaan berat akan memasuki kawasan perumahan Taman Medan untuk mengelakkan tol yang akan menyebabkan keadaan penduduk di situ bertambah risiko.

Beliau menegaskan, tiada laluan alternatif (seperti yang dijanjikan) dibina oleh NPE hanya jalan sedia ada yang merentasi kawasan perumahan yang padat dan empat buah sekolah bermula dari Jalan 12 Taman Dato’ Harun hingga Jalan Besar Taman Medan. Keadaan ini amat membahayakan penduduk serta pelajar sekolah dan kanak-kanak. Situasi ini menyebabkan kesesakan serius terutama di waktu puncak (pagi, tengah hari dan petang). Banyak kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kemalangan maut. Ini kerana banyak kenderaan yang mahu mengelakkan bayaran tol melalui jalan tersebut.

Sebagai langkah penyelesaian katanya, beliau mencadangkan agar dialihkan pondok tol sedia ada (di PJS 2 dari kedua-dua arah) bersebelahan pondok tol laluan Subang Jaya - Petaling Jaya.

Beliau membangkitkan perkara-perkara lain seperti jalan yang dibina NPE banyak yang telah rosak dan amat merbahaya kepada pengguna terutama penunggang motorsikal.


No comments:

Soalan ADUN Taman Medan dan Jawapan Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Pertama

Soalan No. 10

Tajuk : Pencemaran Udara Di Lombong PJS 3, Taman Medan

10. Pencemaran toksik yang dikeluarkan hasil daripada pembuangan sampah secara haram yang masih berterusan di lombong PJS 3, Taman Medan. Gas hydrogen sulfide yang dikeluarkan ke udara telah merosakkan harta benda awam, mengeluarkan bau yang busuk dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.

Bertanya kepada Y.A.B Dato' Menteri Besar:

a) Siapakah pemilik lombong tersebut dan apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Beri butiran syarikat/individu pemilik kawasan tersebut dan keluasan yang dimiliki.

b) Siapa yang bertanggungjawab membiayai kos merawat lombong yang tercemar tersebut dan berapa lama rawatan perlu dijalankan?

c) Syarikat manakah yang menjalankan rawatan tersebut dan apakah kadar toksik sejak mula dikesan sehingga kini, dan kaedah rawatan yang dijalankan?



Soalan dijawab oleh Y.B. Cik Elizabeth Wong Keat Ping

Kawasan bekas lombong seluas lebih kurang 114 ekar di kawasan Taman Sri Manja PJS 3, telah diberi milik kepada 5 pemaju iaitu:

i)
Nama Pemaju : Tetuan Susunan Baru Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 2.80 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah pangsa kos sederhana murah

ii) Nama Pemaju : Tetuan Maju Jaya Sdn Bhd
No. Lot : PT 5225 sebahagian Lot 25520
Luas Tapak : 10.331 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

iii) Nama Pemaju : Tetuan Buana Perdana Sdn Bhd
No. Lot : sLot PT 6489
Luas Tapak : 10.56 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah teres 2 tingkat (228 unit)

iv) Nama Pemaju : Tetuan Lagenda Kencana Sdn Bhd
No. Lot : Lot PT 12813 hingg PT 12817
Luas Tapak : 71 ekar
Cadangan Pembangunan : Pembangunan bercampur

v) Nama Pemaju : Tetuan Peter's Bricksworks Sdn Bhd
No. Lot : sebahagian Lot 25521
Luas Tapak : 9.37 ekar
Cadangan Pembangunan : Rumah kos rendah dan industri teres


Walaubagaimanapun, hanya lebih kurang 10 ekar kawasan lombong iaitu milik Tetuan Lagenda Kencana Sdn. Bhd. yang belum ditambak untuk pembangunan. Daripada tahun 2004 hingga 2006, pihak yang bertanggungjawab membiayai ks rawatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM3.4 juta. Dari tahun 2007 hingga sekarang, kos rawatan dibiayai oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 4.8 juta. Rawatan lombong ini akan diteruskan sehingga lombong ditimbus sepenuhnya. Setakat ini terdapat 3 buah syarikat telah dilantik untuk menjalankan rawatan mulai tahun 2004 iaitu:

i) Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA)
ii) Geo Kinetics Sdn. Bhd.
iii) Kunci Produktif Sdn. Bhd.

Semasa kes ini mula dikesan, bacaan tertinggi yang dicatatkan hasil pemantauan adalah 600ppm. Mulai tahun 2005 hingga kini, tahap bacaan gas adalah stabil kecuali semasa hujan. Kaedah rawatan yang digunakan ialah Bahan Biologi dan Bahan Kimia.